Selama kita baca Surah Yasin dari kecil sampai
ke tua, pernahkah kita faham tafsirnya dan memahami fakta sains di
dalamnya yang membuktikan kebenaran agama Allah? Berikut merupakan
tafsir dan nota fakta sains yang terkandung di dalam surah Yasin - ayat 33, 39, 40, 77, 80. Jom faham surah yang ramai boleh baca tanpa rujuk naskah ni
[1]Yaa, Siin.
[2]Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
[4]Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
[5]Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[6]Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk
neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah
mereka lalai.
[7]Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.
[8]Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk
kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke
batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu
mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
[9]Dan Kami jadikan
(sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai)
sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan
kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang
menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka
(pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu,
mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
[10]Dan (dengan
sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau
tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.
[11]Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan
faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut
ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman
semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan.
Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan
dan pahala yang mulia.
[12]Sesungguhnya Kami menghidupkan
orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah
kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka
tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu
dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
[13]Dan
ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah
penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi
Rasul-rasul (Kami),
[14]Ketika Kami mengutus kepada mereka dua
orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua
Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `
Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu ‘.
[15]Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia
seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan
sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain
hanyalah berdusta”.
[16]Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
[17]“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”.
[18]Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas
dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak
berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami
akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab
seksa yang tidak terperi sakitnya”.
[19]Rasul-rasul itu
menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang
ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat
pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)?
(Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum
pelampau”.
[20]Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah
seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi
nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
[21]“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu
balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.
[22]Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka
jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan
yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
[23]“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah
tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak
menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan
sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan
daku.
[24]“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
[25]“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.
[26](Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam
Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
[27]“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.
[28]Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang
pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak
perlu Kami menurunkannya.
[29](Kebinasaan mereka) hanyalah
dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta
mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.
[30]Sungguh besar
perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari
kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka
mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
[31]Tidakkah mereka
mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum
mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka
(bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).
[32]Dan
tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan
Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
[33]Dan
dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami),
ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya
biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.
Fakta
- Pada peringkat awal, Bumi hanya merupakan sebuah bebola berbentuk
batu induk yang tidak mempunyai apa-apa di atas permukaannya. Sebab itu
ia dikatakan sebagai sebuah “planet yang mati". Perkataan “bumi yang
mati”, dalam ayat ke-33 surah ini, jika ditinjau dari aspek yang khusus,
merujuk kepada keadaan sesetengah kawasan yang gersang di gurun-gurun
pasir atau di tempat-tempat yang dilanda kemarau. Di semua kawasan yang
gersang itu tiada tumbuhan yang boleh tumbuh dengan subur. Bumi dan
sistemnya dicipta oleh Allah s.w.t. Oleh itu Dia lebih mengetahui
kepentingan tanah gersang dan tanah subur. Dia juga lebih mengetahui
bagaimana hendak menukarkan tanah-tanah gersang itu menjadi tanah yang
subur. Sebab itu, kita dapati di atas muka bumi ini banyak sekali tanah
yang subur dan sesuai untuk digunakan sebagai kawasan pertanian. Kawasan
subur ini terdapat di lembah-lembah, di dataran bukit dan di
kawasan-kawasan rendah.
[34]Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,
[35]Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?
[36]Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya
berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri
mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
[37]Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami
hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada
dalam gelap-gelita;
[38]Dan (sebahagian dari dalil yang
tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan
baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
[39]Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa
peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke
peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
Fakta - bukti bulan mengelilingi bumi
[40](Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya
mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana
tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya
masing-masing.
Fakta - Matahari tidak duduk tetap seperti yang
ditemui sains moden, ia juga mempunyai orbit dan beredar di dalam
galaksi kita. Matahari menghabiskan 226 juta tahun untuk melengkap 1
kitaran. Sama seperti bulan mengelilingi bumi. perkataan beredar
terapung-apung ditempat edarannya membuktikan kewujudan orbit bagi bulan
dan matahari. Membuktikan Allah yang menciptakan alam semesta dan Allah
telah memberitahu manusia dahulu fakta ini sebelum manusia menemuinya.
[41]Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;
[42]Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
[43]Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya
Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi
pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, -
[44]Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.
[45]Dan apabila dikatakan kepada mereka: ” berjaga-jagalah kamu akan
apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini),
dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat),
supaya kamu beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).
[46]Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai
kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka
selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).
[47]Dan
apabila dikatakan kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian dari rezeki
yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir
itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah
kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia
akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang
nyata”.
[48]Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara
dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah
datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu
orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”,
[49]Mereka
tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut)
akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar
(merundingkan urusan dunia masing-masing).
[50]Maka dengan itu,
mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya),
dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada
keluarganya.
[51]Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala
(menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang
demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing
(untuk) mengadap Tuhannya.
[52](Pada ketika itu) orang-orang
yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami!
Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu
dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah
Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh
Rasul-rasul!,
[53]Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan
sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan
Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).
[54]Maka
pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan
kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah
kerjakan.
[55]Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
[56]Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;
[57]Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;
[58](Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
[59]Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir):
“Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari
bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).
[60]“Bukankah
Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan
menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
[61]“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
[62]“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai
di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah
sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
[63]“Yang kamu saksikan
sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya
(kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).
[64]“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”
[65]Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi
peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan
masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang
mereka telah usahakan.
[66](Matahati orang-orang yang
menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa
menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga
masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui).
(Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?
[67](Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami
kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi
kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka
tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
[68]Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan
umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah;
hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
[69](Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair
kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang
Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan
Kitab Suci yang memberi penerangan;
[70]Supaya ia memberi
peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata
tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.
[71]Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah
menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis
makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka
memilikinya?
[72]Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka;
maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian
lagi mereka makan.
[73]Dan mereka beroleh berbagai faedah dan
kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa
mereka tidak mahu bersyukur?
[74]Dan tergamak mereka menyembah
beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka
mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).
[75]Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong
mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa
hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.
[76]Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan
tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui
apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
[77]Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah
menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami
sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak
semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas
bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang
yang mati),
Fakta - proses kejadian manusia yang bermula dari air mani
[78]Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang
kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil
ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah
hancur seperti debu?”
[79]Katakanlah: “Tulang-tulang yang
hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada
awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan
makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
[80]“Tuhan yang telah
menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk
kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon
itu”.
Fakta - Oksigen hanya dihasilkan dari fotosintesis iaitu
dari tumbuhan hijau yang hidup (hijau basah - kerana di dalam daun
mengandungi air). Daun hijau yg telah gugur secara automatik tidak
menghasilkan oksigen). Sains juga membuktikan pembakaran memerlukan
oksigen. Contohnya pembakaran di dalam silinder enjin dan api yang
terpadam dalam ruang vakum. Hanya selepas 1400 tahun baru manusia dapat
memahami ayat ini secara sains. Ayat ini juga boleh difahami dengan
mudah semasa zaman ia diturunkan iaitu manusia dapat menghidupkan api
menggunakan kayu yang datangnya dari pokok2.
[81]Tidakkah
diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan
langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula
manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan
dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya,
lagi Yang Maha Mengetahui.
[82]Sesungguhnya keadaan
kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia
berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus
menjadi.
[83]Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap:
Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu,
dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan
Sumber - http://www.niknasri.com/wp-content/uploads/2009/12/tafsir-surah-Yaasin.pdf
Jom share supaya ia menjadi pahala ilmu yang berterusan
SURAH YASIN DAN FAKTA
- By Unknown
- 8:32 PM
- 0 comments
- Fakta
Tagged
Nadia Hanim Menulis
Saya Nadia Hanim bt Mohamad pengedar sah SHAKLEE anda no. ID 1095456. Jom CANTIK dan SIHAT bersama Shaklee (Selamat Mesra Alam dan Berkesan) bukan hanya sekadar MENJUAL SUPPLEMENT SHAKLEE tetapi berkongsi ilmu mengenai KEBAIKAN SUPPLEMENT SEMULAJADI.
0 comments